Yang mengqadha puasa ramadhan

Sesiapa yang wajib mengqadha’ puasa Ramadan, seluruh atau sebahagiannya, tetapi dia melambatkan qadha’ sehingga masuk bulan Ramadhan berikutnya; jika dia melambatkan qadha’ itu kerana keuzuran seperti sakit atau pemusafiran yang berterusan sepanjang tahun, maka dia tidak dikenakan apa-apa fidyah. Dia hanya wajib mengqadha’ sahaja.

Tetapi jika dia tidak mempunyai apa-apa keuzuran, maka tidak boleh baginya melambatkan qadha’ puasa tersebut menurut kesepakatan ulama, bahkan dia dikira berdosa kerana melambatkannya sehingga tiba Ramadan berikutnya.

Oleh itu, sesiapa yang tidak mengqadha’ puasa Ramadhan sehingga tiba Ramadhan berikutnya, dia adalah berdosa. Dia tetap wajib mengqadha’ puasa tersebut, di samping dia dikenakan membayar fidyah. Fidyah ialah mengeluarkan satu cupak makanan asasi bagi sesuatu negeri kepada fakir miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

Jika pada tahun berikutnya juga dia masih tidak mengqadha’ puasa tersebut, maka dalam masalah ini terdapat dua pandangan. Pertama fidyah tersebut akan berganda berdasarkan bilangan tahun. Kedua, fidyah tersebut tidak berganda meskipun melangkaui tahun berikutnya.

Namun Dr Yusuf al-Qaradawi berpendapat fidyah adalah tidak wajib, bahkan hanya sunat sahaja, kerana hukumnya tidak sabit daripada hadis sahih yang disandarkan kepada Rasulullah (s.a.w). Apa yang ada hanya athar (riwayat) daripada sekumpulan sahabat yang tidak boleh menjadi hujjah terhadap sesiapa. Oleh itu, beliau mengatakan mengeluarkan fidyah kerana terlepas daripada mengqadha’kan puasa sehingga masuk bulan Ramadan berikutnya hanyalah sunat sahaja, tidak wajib, sebagai langkah menampung kekurangan yang berlaku hasil daripada kecuaian melewatkan qadha’ puasa itu. Untuk mengatakan ia adalah wajib, memerlukan kepada dalil, tetapi di sini tidak ada dalil sedemikian. Wallahu a’lam.

Referensi:

Al-Nawawi, Muhy al-Din Sharaf. T.th. al-Majmu‘ Sharhal-Muhadhdhab. Jedah: Maktabat al-Irshad.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar